Sunday, March 29, 2009

R-Salahkan Tuhan!

Pagi tadi, ada seorang pelanggan baru hadir di warung Kak Milah. Mungkin pegawai mana-mana Jabatan Kerajaan bisik hati kecilku....
Seperti biasa aku mengambil pesanan, bila dia hanya memesan minuman, aku dengan penuh santun bertanyakan sama ada beliau ingin menjamah sesuatu?
Tiba-tiba soalanku dijawab dengan soalan. Aku terpana seketika! Perlukah aku memberi tahu apakah soalannya?
Ya! Amat perlu. Jika tidak, aku akan menghampakan kamu. Aku tahu itu.
Soalannya...."Kenapa muka awak macam nak marah saya?" *#wtf`* Aku sudah pun mengukir senyuman.... lantaran itu apakah lagi yang diharapkan??
Perlukah aku mengubah rupaku seperti Catherine Zeta Jones???? Kalau kamu bertanyakan aku seperti itu, sama ertinya padaku bahawa kamu menyalahkan Tuhan kerana melahirkan aku dengan wajah ini....
Aku tidak benci pada pelanggan baru itu, tapi hati kecilku terusik!

Friday, March 20, 2009

Z-Anakku Sakit!

Terkejut aku mendapat perkhabaran dari majikan bahawa isteriku, Fatimah menelefon. Katanya lagi Kak Long demam panas.
Aku memang akur dari petang semalam lagi Kak Long sudah tidak berdaya. Kufikirkan demam biasa.
Terus aku pulang ke rumah. Melihat Kak Long lemah longlai tidak berdaya, hatiku gundah. Kata Fatimah, belum sebutir nasi pun yang dijamah Kak Long. Hatiku gundah lagi. Aku perlu membawa Kak Long ke klinik. Ku arahkan Fatimah menyiapkan anak sulungku itu. Mujurlah ada sebuah klinik di kampungku. Itu pun dihujung kampung.
1 jam masa ku ambil untuk sampai ke klinik. Aku mendukung Kak Long. Nak dibawa naik basikal, aku bimbang akan sampai ke klinik berseorangan pulak nanti.
Saat itu, tenaga yang lelah tidak kuhiraukan lagi. Yang membuat aku gundah adalah baki wang dalam dompetku hanya RM20. Pusing aku memikirkan. Bagaimana jika kosnya nanti lebih dari itu? Walau aku tahu nyawa anakku lebih bernilai.... aku tak mampu untuk tidak berfikir tentang kemungkinan itu.
Setelah diperiksa, doktor menyatakan anakku itu demam biasa. Lega hatiku mendengarkannya. Doktor memberi suntikan agar demamnya cepat kebah.
Dan momen selepas itu amat memedihkan untuk aku terima. Jumlah yang harus ku bayar RM30. Bingung aku sebentar. Tebal mukaku menghadap pembantu klinik itu. Aku meminta dia simpankan dahulu ubatan yang dibekalkan. Aku memberi RM20 kepadanya. Kataku akan datang kemudian dengan baki duit.
Nah! Itulah padahnya menjadi orang tak berduit!

Z-Induksi ~ Zainal

Namaku Zainul Ariffin bin Zainul Abidin. Kawan-kawan memanggil aku Zainal. Aku seorang buruh kasar yang bekerja di tapak projek perumahan. Aku sudah berkahwin dan mempunyai 1 orang anak perempuan dan 3 orang anak lelaki. Tiada apa yang istimewa tentang aku. Aku manusia biasa. Cuma mungkin kami dapat mengenali aku bila membaca kisah aku di sini. Aku belum benar-benar bersedia untuk bercerita. Tunggu saja dalam satu minggu ini. Kalau aku sudah selesa, aku akan mula bercerita. Jumpa lagi!

R-Hari Yang Celaka!

Biarlah aku luahkan rasa hatiku hari ini.
Bekas tunanganku yang pertama, Shahbudin datang ke Warung Kak Milah hari ini.
Yang lebih menyakitkan hati, dia duduk melepak lama-lama.
Yang membuat aku tak selesa, aku terdengar kutukan tentang diriku.
Memang pada waktu itu aku lantakkan saja.
Tak usah dilayan anjing itu.
Tapi, aku tahu kehadirannya akan mengakibatkan luka lama berdarah kembali.
Ini bukan kali pertama aku berjumpa dengannya semenjak dia tinggalkan aku.
Acapkali juga aku ternampak dia dan keluarga.
Tapi kubutakan mata.
Dalam hatiku selalu mendoakan kebahagiaan untuknya.
Tapi hari ini aku tahu doa aku sia-sia saja.
Hari ini dia datang untuk menyakiti aku atau ada sesuatu yang ingin disampaikan.
Aku berkata begitu kerana dia memanggil aku untuk pergi ke satu sudut warung.
Tapi aku tak mahu.
Apa guna berbicara lagi kalau hanya menambah luka.
Biarkan aku sebegini saja.
Yang menambah kecelakaan... ada bajingan yang berjaya meragut beg aku.
Mujur beg duit aku masukkan dalam poket baju.
Kalau tidak pasti aku akan lebih terbakar dari sekarang!
Wahai manusia, insaflah dari segala perbuatan yang menyakiti orang lain!

R-Status

Terus terang tanpa sedikit pun penafian, aku adalah andartu. Umurku menjangkau leawat 30-an tapi aku masih belum berteman.
Mungkin sekali pandang, kamu akan mengatakan aku yang terlalu memilih. Hakikatnya jodoh aku yang belum sampai.
Aku belum bertemu jodoh! Atau mungkin juga jodohku sudah mati! Aku pasti kamu akan memarahi aku mengatakan begitu.
Benar, aku pernah bertanya pada orang yang lebih arif tentang hidup ini. Mengapa jodohku belum sampai? Lebih kurang begitulah katanya.
Tambahnya lagi, kalau aku tunggu seumur hidup pun, aku takkan mendapat jodoh lain kalau jodoh aku mati dahulu sebelum bertemu aku.
Aku pasrah! Mujur orang tuaku lebih mengerti. Tak pernah mereka memaksa dan bertanya soalan menyakitkan hati.
Apa saja keputusanku, mereka akur menerima. Terima kasih ibu, terima kasih ayahku.
Satu lagi status yang ku fikir akan diingati oleh ramai orang, bahawasanya aku sudah 3 kali bertunang. Tapi ketiga-tiga tunanganku menjadi suami orang lain. Mungkin silap aku yang tak pandai menyemai benih-benih cinta.
Bila di ajak keluar, aku menolak. Mungkin mereka tidak mengenali aku sepenuhnya. Atau merasakan bahawa aku tidak sesuai dengan mereka.
Apa-apa sajalah.
Malas hendak kufikirkan.
Yang pasti aku bahagia kini dengan jalan yang ku pilih. Mungkin juga ini jalan yang Tuhan aturkan untukku. Sekali lagi inginku beritahu, aku pasrah menerima seadanya.
Sebab itu dalam kes ibu yang sarat hamil itu, aku tidak berani mengomel yang bukan-bukan. Aku belum berpengalaman. Aku belum melalui saat itu. Aku tidak tahu.
Nah! Sekarang kamu sudah tahu siapa aku.
Masih sudikah membaca cerita-ceritaku?

Thursday, March 19, 2009

R-Perihal Radziah (Prolog)

Mula-mula, semangat datang bertalu-talu untuk memberitahu. Tetiba akal membantah! Biarkan dahulu! Supaya orang tertunggu-tunggu. Akanku biar. Tetapi idea ini sedang mencurah-curah? Tak mengapa.... Ku curahkan tapi tidak ku paparkan. Bagaimana?

A-Langit Memujuk

Sukakah kau pada langit?
Sukakah aku pada langit?

Ya! Aku suka!
Langit itu membiru
Biru itu menenangkan
Biru itu mendamaikan

Aku suka pada langit
Langit itu memujukku
Langit itu mendorongku
Menghapus luka
Memagar lara
Dari terus bertakhta
Di lubuk hatiku

Aku suka pada langit!
Aku suka pada langit!

R-Pengajaran Hari Semalam

Lupa aku nak ceritakan tadi. Bukan lagi semalam sepatutnya. Sudah jadi kelmarin. Biarkan. Ada dua kejadian sebenarnya. Tapi yang paling berkesan yang akan kuceritakan kali ini. Yang lagi satu tu, tunggulah bila-bila aku teringat.
Ketika aku hampir menamatkan tugasanku di Warung Kak Milah, semua mata tertumpu pada seorang wanita yang sedang sarat hamil. Bukan keadaannya yang mencuri tumpuan kami, tapi tingkahnya.
Tingkah yang aku tak dapat nak kelaskan sebagai apa. Siapa aku nak mengkelas sikap orang lain. Aku ini insan kerdil. Lagi pun aku ini memegang status. Hal statusku kemudian aku cerita.
Wanita tersebut memaki hamun seorang lelaki. Yang kuperhatikan tunduk sejak dari mula.
Tak sekali pun dia mengangkat muka. Malu sungguh datang menerpa, agaknya! Hairan juga benakku. Melihat kekejungan lelaki tinggi lampai itu. Tak terbalas sepatah kata.
Hamburan disambut dengan merah kupingnya! Sungguh kupingmu kebal! Atau kau sudah biasa??
Entah mengapa, ku rasakan 10 minit bagaikan satu jam. Terlalu lama wanita itu melancarkan serangan! Sedang Sang Kesatria hanya bertahan!
Wanita hamil itu berhenti akhirnya, itu pun kerana lelah menghambat.
Perlahan ku lihat lelaki itu bangun dan memaut bahu wanita itu (kufikir mereka suami isteri). Tanpa sebutir perkataan terpacul tetapi wanita itu menurut saja lalu pasangan itu beredar.
Api marahnya yang meluap-luap tadi terpadam begitu saja. Tak tinggal apa-apa. Mungkin tinggal asap saja~pada kami yang menjadi saksi. Saksi yang terbau-bau hangitnya resam rumah tangga.
Hipokritnya manusia, setelah pasangan lesap dari pandangan, bermacam cerita dan andaian menjadi momokan. Aku pun tak terkecuali. Cuba kutepis bisikan-bisikan. Agar aku tak termasuk dalam golongan itu.
Kak Milah datang berbisik padaku, "Mengapa tadi Radziah tak tenangkan?" Dalam hatiku menjerit! Kenapa aku yang kau suruh wahai Kak Milah! Engkaulah Tuan Kedai!
Tapi bibirku tetap mengukir senyuman. Senyuman yang lebih pahit dari kopi o tanpa gula.

Wednesday, March 18, 2009

R-Memilih @ Terpilih?

Setiap hari aku di situ. Rezekiku di situ. Seawal 6.30 pagi aku melangkah keluar dari sarangku. Aku pastikan aku mempunyai 15 minit lebihan masa untuk aku menenangkan diri, sambil membaca tabloid kegemaran.
Aku amat pasti aku akan mendapat pengalaman baru lagi hari ini. Sama seperti semalam, aku mendapat sesuatu! Pengajaran paling berguna, paling tidak pun untukku.
Jam 7.00 pagi tugasanku bermula. Macam biasa juga. Tiada yang istimewa.
Jam 9.00 pagi Kak Milah memanggilku. Memperkenalkan seorang pekerja baru. Tak berapa cantik tapi tetap sedap mata memandang. Tapi kurang gemuk dari aku. Tak berapa cerah berbanding aku. Namanya semanis orangnya, Mas.
Tiba-tiba benakku terlintas kekasih Waris~Kekasihku Seru. Argh! Tempelak akalku. Kadangkala hatiku memang terlalu.
Mas datang dari berselang 3 kampung dari sarangku. Sarangku pula hanya 10 minit jika aku berlenggang kangkung. Sebab itu dia lambat kata Kak Milah. Aku hanya tersenyum kelu. Kak Milah pulang menghantar bekalan untuk anaknya.
Sejurus itu, mataku terbuka. Pelanggan datang bertalu-talu. Membuat aku terlupa waktu. Terlupa juga Mas pekerja baru. Ku andaikan Mas cekap segala. Ya, dia memang cekap. Membaling pinggan mangkuk ke dalam besen.
Terkejut aku mendengar bunyi hentaman. Mengapa dia berkelakuan begitu? Penatkah dia melayan kehendak pelanggan? Adakah pelanggan telah tersalah laku terhadapnya? Haruskah aku bertanya? Haruskah?
Dia bukan budak kecil yang perlu diberi panduan. Dia sudah cukup dewasa untuk menilai tindakan. Kubiarkan saja tingkahnya.
Kak Milah kembali bila kami tamat tugasan jam 5.00 petang. Ku temani Mas menanti bas mini. "Aduh penat!" keluhnya. Tanpa aku bertanya lancar saja dia bercerita. Katanya hari ini hari pertama dan terakhir dia bekerja. Sudahlah jauh perjalanan, kerenah pelanggan juga tak mampu nak dihadapnya lagi. Sudah banyak tempat dia cuba bekerja, tapi semuanya tak sesuai dengan jiwa tambahnya terus.
Aku diam saja. Mengangguk tidak, menggeleng pun bukan.
Bila bas yang ditunggu sampai lantas dia melambai sambil mengucapkan selamat tinggal. Aku tersenyum kelat!
Oh manusia! Mengapa kamu terlampau memilih waima kamu tahu pekerjaan itu mampu memberi rezeki yang halal dan diberkati? Adakah kamu rasa kamu itu insan terpilih? Dan jika benar kamu insan terpilih, pastinya kamu tidak akan memilih!

A-Pengenalan

Petang itu aku berpeluang duduk di kedai makan itu sambil mengunyah perlahan makanan kegemaranku, roti canai banjir kuah campur. Jarang sekali aku berkesempatan duduk di situ. Mataku juga perlahan mengikut gerakan manusia-manusia di situ. Pelbagai tingkah dapat kulihat. Beribu perkataan tertangkap di kupingku. Argh! Bosan juga sekali-sekala. Tapi itu sekali-sekala sahaja. Selalunya aku gembira kerana tingkah mereka memberi ilham kepadaku. Terima kasih alam! Terima kasih manusia! Nantikan saja nukilanku di sini.

Selangor Gergasi 2009

Selangor Gergasi 2009

"Magical Template" designed by Blogger Buster