Wednesday, March 18, 2009

R-Memilih @ Terpilih?

Setiap hari aku di situ. Rezekiku di situ. Seawal 6.30 pagi aku melangkah keluar dari sarangku. Aku pastikan aku mempunyai 15 minit lebihan masa untuk aku menenangkan diri, sambil membaca tabloid kegemaran.
Aku amat pasti aku akan mendapat pengalaman baru lagi hari ini. Sama seperti semalam, aku mendapat sesuatu! Pengajaran paling berguna, paling tidak pun untukku.
Jam 7.00 pagi tugasanku bermula. Macam biasa juga. Tiada yang istimewa.
Jam 9.00 pagi Kak Milah memanggilku. Memperkenalkan seorang pekerja baru. Tak berapa cantik tapi tetap sedap mata memandang. Tapi kurang gemuk dari aku. Tak berapa cerah berbanding aku. Namanya semanis orangnya, Mas.
Tiba-tiba benakku terlintas kekasih Waris~Kekasihku Seru. Argh! Tempelak akalku. Kadangkala hatiku memang terlalu.
Mas datang dari berselang 3 kampung dari sarangku. Sarangku pula hanya 10 minit jika aku berlenggang kangkung. Sebab itu dia lambat kata Kak Milah. Aku hanya tersenyum kelu. Kak Milah pulang menghantar bekalan untuk anaknya.
Sejurus itu, mataku terbuka. Pelanggan datang bertalu-talu. Membuat aku terlupa waktu. Terlupa juga Mas pekerja baru. Ku andaikan Mas cekap segala. Ya, dia memang cekap. Membaling pinggan mangkuk ke dalam besen.
Terkejut aku mendengar bunyi hentaman. Mengapa dia berkelakuan begitu? Penatkah dia melayan kehendak pelanggan? Adakah pelanggan telah tersalah laku terhadapnya? Haruskah aku bertanya? Haruskah?
Dia bukan budak kecil yang perlu diberi panduan. Dia sudah cukup dewasa untuk menilai tindakan. Kubiarkan saja tingkahnya.
Kak Milah kembali bila kami tamat tugasan jam 5.00 petang. Ku temani Mas menanti bas mini. "Aduh penat!" keluhnya. Tanpa aku bertanya lancar saja dia bercerita. Katanya hari ini hari pertama dan terakhir dia bekerja. Sudahlah jauh perjalanan, kerenah pelanggan juga tak mampu nak dihadapnya lagi. Sudah banyak tempat dia cuba bekerja, tapi semuanya tak sesuai dengan jiwa tambahnya terus.
Aku diam saja. Mengangguk tidak, menggeleng pun bukan.
Bila bas yang ditunggu sampai lantas dia melambai sambil mengucapkan selamat tinggal. Aku tersenyum kelat!
Oh manusia! Mengapa kamu terlampau memilih waima kamu tahu pekerjaan itu mampu memberi rezeki yang halal dan diberkati? Adakah kamu rasa kamu itu insan terpilih? Dan jika benar kamu insan terpilih, pastinya kamu tidak akan memilih!

0 comments:

Selangor Gergasi 2009

Selangor Gergasi 2009

"Magical Template" designed by Blogger Buster