Thursday, March 19, 2009

R-Pengajaran Hari Semalam

Lupa aku nak ceritakan tadi. Bukan lagi semalam sepatutnya. Sudah jadi kelmarin. Biarkan. Ada dua kejadian sebenarnya. Tapi yang paling berkesan yang akan kuceritakan kali ini. Yang lagi satu tu, tunggulah bila-bila aku teringat.
Ketika aku hampir menamatkan tugasanku di Warung Kak Milah, semua mata tertumpu pada seorang wanita yang sedang sarat hamil. Bukan keadaannya yang mencuri tumpuan kami, tapi tingkahnya.
Tingkah yang aku tak dapat nak kelaskan sebagai apa. Siapa aku nak mengkelas sikap orang lain. Aku ini insan kerdil. Lagi pun aku ini memegang status. Hal statusku kemudian aku cerita.
Wanita tersebut memaki hamun seorang lelaki. Yang kuperhatikan tunduk sejak dari mula.
Tak sekali pun dia mengangkat muka. Malu sungguh datang menerpa, agaknya! Hairan juga benakku. Melihat kekejungan lelaki tinggi lampai itu. Tak terbalas sepatah kata.
Hamburan disambut dengan merah kupingnya! Sungguh kupingmu kebal! Atau kau sudah biasa??
Entah mengapa, ku rasakan 10 minit bagaikan satu jam. Terlalu lama wanita itu melancarkan serangan! Sedang Sang Kesatria hanya bertahan!
Wanita hamil itu berhenti akhirnya, itu pun kerana lelah menghambat.
Perlahan ku lihat lelaki itu bangun dan memaut bahu wanita itu (kufikir mereka suami isteri). Tanpa sebutir perkataan terpacul tetapi wanita itu menurut saja lalu pasangan itu beredar.
Api marahnya yang meluap-luap tadi terpadam begitu saja. Tak tinggal apa-apa. Mungkin tinggal asap saja~pada kami yang menjadi saksi. Saksi yang terbau-bau hangitnya resam rumah tangga.
Hipokritnya manusia, setelah pasangan lesap dari pandangan, bermacam cerita dan andaian menjadi momokan. Aku pun tak terkecuali. Cuba kutepis bisikan-bisikan. Agar aku tak termasuk dalam golongan itu.
Kak Milah datang berbisik padaku, "Mengapa tadi Radziah tak tenangkan?" Dalam hatiku menjerit! Kenapa aku yang kau suruh wahai Kak Milah! Engkaulah Tuan Kedai!
Tapi bibirku tetap mengukir senyuman. Senyuman yang lebih pahit dari kopi o tanpa gula.

0 comments:

Selangor Gergasi 2009

Selangor Gergasi 2009

"Magical Template" designed by Blogger Buster